KUALA LUMPUR, Khamis – Terdapat dua kemungkinan akan berlaku selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan berhubung permohonan parti itu meminda Perlembagaan parti seperti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, Mei lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kemungkinan-kemungkinan itu ialah pemilihan parti akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya permohonan berkenaan diluluskan atau pemilihan diadakan selepas PRU-15 jika sebaliknya.
“Setakat ini kita (UMNO) tidak dapat lagi (keputusan), tetapi ada (ramai) orang lawan teka sekarang ini (jangkaan keputusan), tetapi pada saya, tidak perlu keterlaluan, kita tunggu keputusan daripada (RoS)”
DATUK SERI MAHDZIR KHALID / Naib Presiden UMNO
Mahdzir berkata, ahli UMNO diharap dapat menerima keputusan yang akan dikeluarkan RoS dijangka diumumkan selewat-lewatnya Sabtu ini selain tidak bersifat keterlaluan sebelum keputusan dikeluarkan.
Beliau berkata, sekiranya pindaan itu tidak diluluskan pemilihan perlu dibuat terlebih dahulu setelah itu pilihan raya akan dilaksanaka dan jika pindaan itu lulus, pemilihan parti akan dilakukan selepas pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, ia terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menghadapi kemungkinan yang dijangka berlaku selepas keputusan berkenaan diumumkan.
Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, RoS belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan tarikh pemilihan parti.
Kata Hamzah, sebarang keputusan yang akan dikeluarkan jabatan itu kelak dibuat secara bebas.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.
Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/14/jangan-biar-aset-negara-digadai-dirampas-pihak-luar-pakar/