Alor Setar, Selasa – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa penanaman durian Musing King di ladang hutan Gunung Inas, Baling dibuat ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) diterajui Ahmad Bashah Md Hanipah.
Presiden PEJUANG itu mendakwa, kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah pada 2016 hingga 2018 membuat keputusan menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC) kepada durian Musang King sekali gus menafikan tuduhan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor.
“Anak syarikat kerajaan Kedah, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan terbabit bagaimanapun, gagal melaksanakannya. Selepas itu, Aman Mega Sdn Bhd dilantik untuk mengambil alih tanggungjawab itu, tetapi syarikat itu dibeli oleh syarikat ECK. Ketika pentadbiran Bashah, ECK dibenarkan menanam durian,”
DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR / Bekas Menteri Besar Kedah
Semalam, Sanusi menafikan pentadbirannya terbabit dalam projek itu sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu pimpinan Mukhriz yang menjadi Menteri Besar pada 2013 hingga 2016 dan 2018 hingga 2020.
Mukhriz berkata, apabila beliau kembali sebagai Menteri Besar pada 2018, keputusan dibuat untuk mengehadkan penanaman durian kepada hanya 20% sahaja.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membenarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesies pokok hutan lain.
Projek ladang durian Musang King di Gunung Inas sebelum ini dikaitkan antara punca tragedi banjir dan kepala air di Baling, minggu lalu.
Kejadian itu mengorbankan tiga nyawa dan memusnahkan 15 rumah, selain beratus lagi kediaman penduduk rosak teruk.
Mukhriz berkata, walaupun penanaman durian dikaitkan sebagai punca utama bencana berkenaan, namun perlu dilihat bahawa kawasan hutan simpan kekal di Gunung Inas ditukar status kepada ladang pertanian oleh kerajaan BN pada 2007, dan dijenamakan Ladang Sejahtera oleh kerajaan PAS pada 2008.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/12/tanpa-tpm-negara-masih-terus-berfungsi-ridhuan-tee/