BANGI, Isnin – Tuduhan filem Mat Kilau berunsurkan rasis dan fasis hanyalah dakwaan terpilih yang dicipta ke atas filem yang menaikkan semangat serta jati diri Melayu.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, berkata hakikatnya, di dunia terdapat terlalu banyak filem dari China dan Barat yang menggambarkan kekejaman dilakukan oleh pihak lain ke atas mereka.
“Apa yang jelas adalah kemungkinan wujud kebimbangan di kalangan sesetengah pihak yang melihat kesedaran Melayu Islam meningkat. Kebimbangan itulah yang menjadi latar belakang tuduhan rasis, fasis dan seumpamanya kerana mereka mahu bangsa Melayu terus layu dan diperkotak katikkan sentiasa,”
USTAZ FAUZI ASMUNI / Presiden ISMA
Memetik laporan Ismaweb, Ustaz Fauzi berkata, kesedaran jati diri Melayu adalah permulaan kepada satu perubahan di dalam negara ini.
Jelasnya, perubahan itu akan membawa kepada dominasi lebih kukuh Islam dalam urusan kenegaraan.
Ini bertentangan dengan gerakan yang berlaku sekarang yang bermatlamatkan untuk mengubah struktur dan asas kenegaraan.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan bahawa filem Mat Kilau bersifat fasis dan rasis.
Mengulas lanjut, katanya, filem Mat Kilau sekadar cuba menggambarkan sejarah sebagaimana ia berlaku dengan olahan tertentu.
Menurut beliau, isu askar upahan atau penjajah adalah sebahagian daripada realiti sejarah yang berlaku yang tidak mampu dibuang dari sejarah lepas.
Jika pertikaian itu kerana adegan askar upahan itu dibunuh dengan kejam, sepatutnya kritikan juga diberikan kepada adegan askar-askar upahan membunuh penduduk kampung dengan kejam, katanya.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/08/pola-kes-aktif-dijangka-meningkat-dalam-tempoh-1-2-minggu-pakar/