KUCHING, Sabtu – Tentera Darat Malaysia TDM akan membina pos kawalan di Lawas bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), selain mengekang kegiatan penyeludupan antara Sarawak dan Sabah.
Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, kerajaan Sarawak sudah menyediakan tapak seluas 1 perpuluhan 3 hektar bagi membina pos kawalan itu.
“Biasanya pos kawalan tentera diwujudkan di sempadan antarabangsa, tetapi berbeza dengan pos yang bakal dibina di Lawas itu kerana ia adalah untuk mengawal keluar masuk antara negeri. Ini kerana situasi di Lawas agak lain sedikit,”
MEJAR JENERAL DATUK DZULKAFLI MUSTAFFA / Panglima 1 Divisyen Infantri
Menurutnya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, menyokong penuh langkah untuk mewujudkan pos berkenaan, dan pembinaan akan bermula sebaik peruntukan diterima dari kerajaan Sarawak.
Mengulas lanjut, Dzulkafli berkata, sementara pos kekal dibina, pihaknya sudah melaksanakan gerakan di kawasan Lawas menerusi Ops Bambu.
Jelasnya, apabila siap dibina kelak, pos kawalan tentera di Lawas itu adalah yang pertama diwujudkan di sempadan antara negeri.
Sementara itu, mengenai perkembangan pembinaan pos kawalan tentera di Padang Pan di Bau, Batu Kaya di Lubok Antu dan Sungai Paoh di Serian, Dzulkafli berkata tiga pos berkenaan sudah siap 85 peratus manakala pos kawalan di Tapak Megah, Kapit sudah siap dalam 50 peratus.
Sebelum ini, dua buah kontena dari Sabah dalam cubaan penyeludupan masuk rokok yang bernilai RM4.7 juta berjaya dipatahkan melalui Ops Bambu.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/01/harga-ayam-cecah-rm13-90-sekilogram/