KUALA LUMPUR, Sabtu – Kes mangsa buli Zulfarhan Osman Zulkarnain, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang didera dengan tekapan seterika wap masih meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia.
Kejadian itu hari ini berulang kembali apabila pelajar tingkatan dua menerima nasib sama. Pelajar berkenaan dari sebuah sekolah di Teluk Intan, Perak dilaporkan cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar senior yang turut menggunakan seterika panas dalam kejadian buli itu, Khamis lalu.
“Mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil,”
DATUK MIOR FARIDALATHRASH WAHID / Ketua Polis Perak
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, mangsa telah dicederakan oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun semasa berada di asrama sekolah.
Menurut Faridalathrash, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 12.30 malam dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke sebuah bilik asrama oleh salah seorang suspek lalu memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk mencederakannya menggunakan seterika panas pada badan.
Mangsa kemudiannya, menghubungi ibunya sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
Faridalathrash berkata, semua suspek terlibat telah ditahan pada hari sama dan direman selama empat hari sehingga Isnin ini. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/25/tanda-pagar-matkilau-sohor-di-twitter/