BANGI, Sabtu – Ikatan Guru-guru Muslim I-Guru, menyifatkan pengumuman kerajaan untuk menaikkan elaun warden sebagai langkah jangka masa pendek setelah 25 tahun tidak disemak.
Presidennya, Ustaz Azizee Hassan berpandangan, bahawa terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian supaya isu beban tugas warden dapat diselesaikan untuk jangka panjang.
Memetik laporan Ismaweb, beliau mengulangi beberapa saranan iGuru sebelum ini untuk diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM), antaranya cadangan mewujudkan perjawatan warden sepenuh masa yang bukan dalam kalangan guru.
“KPM perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan sahaja dari imbuhan material semata-mata tetapi juga dari sudut peruntukan undang-undang dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib para guru,”
USTAZ MOHD AZIZEE HASAN / Presiden i-Guru
Ujar beliau, antara lain juga adalah mengurangkan beban tugas guru warden dengan mewujudkan guru warden seperti guru pusat sumber dan tidak dibebankan dengan bebanan akademik.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan kadar baharu elaun diterima ketua warden asrama dinaikkan mulai 1 Ogos depan kepada RM350, manakala warden pula RM300, membabitkan implikasi kewangan hampir RM19 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata iGuru mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan atas keprihatinan KPM menaikkan sebanyak RM60 elaun berkenaan.
Kenaikan ini katanya diharap dapat memberikan suntikan dan motivasi kepada para warden untuk bekerja dengan lebih gigih dan berdedikasi.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/25/pemansuhan-hukuman-mati-mandatori-akan-dikaji-mas-ermieyati1/