PUTRAJAYA, Sabtu – Kurikulum sekolah rendah dan menengah akan disemak semula.
Semakan oleh Kementerian Pendidikan itu bagi menilai dakwaan sukatan mata pelajaran terlalu sukar atau sebenarnya pelajar yang tidak biasa dengan aras kesukaran berkenaan.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan lengkap pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah lengkap pada tahun lalu.
“Jika tamat pusingan ini, memang kita akan semak semula silibus. Kita lihat kesesuaian dengan mengambil kira keadaan dan perkembangan semasa. “Ia tidak boleh dibuat secara suka-suka. Ada proses perlu diikuti. Tidak boleh hari ini kata nak semak, kita boleh semak.’’
MENTERI PENDIDIKAN / Datuk Dr Radzi Jidin
Tambah Radzi dalam semakan semula nanti, perkara keutaaman dilihat termasuklah sama ada kurikulum itu benar-benar kompleks atau ketidakbiasaan.
Radzi mengulas rungutan segelintir ibu bapa dan guru yang mengatakan kurikulum beberapa mata pelajaran seperti Matematik Tahun Satu beraras tinggi.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan dan Padang SekolahKebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18(2) serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan di Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Radzi berkata, kementerian itu memberi keutamaan membuka sekolah baharu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Klang, Selangor dan beberapa kawasan di Johor.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/25/tanda-pagar-matkilau-sohor-di-twitter/