KUALA LUMPUR, Jumaat – Usah terpedaya dengan penawaran visa furada dengan pakej yang boleh mencecah lebih RM50,000 namun tiada sebarang jaminan visa haji diluluskan kepada pemohon.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sehingga kini Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji 1443H/2022M dan orang ramai yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Arab Saudi menawarkan dua pakej kepada rakyat tempatan untuk menunaikan ibadah haji, pakej ini dalam lingkungan harga RM11,000 hingga RM14,000. Saya harap kita memahami suasana ini dan juga kerajaan Arab Saudi telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.’’- Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman
Beliau berkata, TH seringkali mengingatkan risiko haji furada apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menetapkan pelbagai syarat oleh kerajaan Arab Saudi.
Arab Saudi juga mengehadkan hanya sejuta umat Islam menunaikan ibadah haji iaitu 85 peratus melibatkan jemaah di luar Arab Saudi dan 15 peratus lagi khusus untuk mereka yang tinggal di negara itu, namun perlu mendapatkan permit serta melanggan pakej yang telah disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Senario ini berlaku di peringkat antarabangsa dan di Malaysia kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan oleh TH dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,”
Beliau berkata kepada media di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.
Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Akta TH iaitu kesalahan kerana mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.
Justeru, orang ramai yang telah membuat bayaran visa furada sebaiknya melakukan pemeriksaan lanjut dan sepertimana yang dikatakan Syed Saleh, bimbang bayaran yang dibuat akan hangus begitu sahaja.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/24/penyatuan-ummah-penting-dalam-mendepani-pilihan-raya/