SHAH ALAM, Selasa – Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa 21 Jun 2022 memerintahkan Samirah Muzaffar bersama dua anaknya dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, empat tahun lalu. Hakim menetapkan keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Samirah Muzaffar bersama dua anaknya, dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47 tahun dan dua remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan di akhir prosiding pendakwaan, lapor media tempatan.
Samirah, bersama remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan tiba di mahkamah pada jam 9.10 pagi dengan diiringi peguam dan ahli keluarga. Pada 12 Mac 2019, Samirah bersama dua remaja berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh suaminya yang merupakan CEO Cradle Fund ketika kejadian.
Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah; Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.
Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.
Perbicaraan bermula pada 6 September 2019. Samirah bersama dua remaja terbabit didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.
Turut berdepan pertuduhan sama bersubahat dengan jenayah tersebut ialah Eka Wahyu Lestari yang merupakan pembantu rumah Indonesia yang ketika ini masih bebas.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/21/rakyat-terbeban-kos-sara-hidup-tinggi/