SHAH ALAM, Selasa – Parti BERJASA sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana persiapan telah lama dilaksanakan daripada pelbagai sudut kekuatan.
Presiden Parti BERJASA , Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, pihaknya aktif bertemu dan berbincang dengan parti-parti yang ingin membina semula negara serta membetulkan kerosakan sistem politik tanah air, menerusi jajaran baharu.
“Sudah sampai masanya jajaran baharu mengambil alih pimpinan negara dengan muka baharu, pemain muka lama yang bermasalah integriti mesti direhatkan demi kemajuan negara yang bermaruah”
USTAZ HAJI ZAMANI IBRAHIM/ Presiden BERJASA
Memetik Ismaweb Beliau berkata, jajaran baharu itu akan menghidangkan pengundi dengan pimpinan baharu yang lebih berwibawa.
Tambahan beliau, BERJASA telah menghimpunkan ramai daripada kalangan pimpinan parti berwibawa termasuk pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh kebangsaan untuk turut bersama memimpin negara ini.
“Kita telah menyakinkan mereka bahawa kalau kita tidak bertindak sekarang membetulkan dan membina negara, bila lagi dan siapa lagi yang kita nak harapkan kalau bukan kita yang cintakan untuk membina semula negara.”
USTAZ HAJI ZAMANI IBRAHIM/ Presiden BERJASA
Dalam usaha memantapkan jajaran baharu, Ustaz Zamani berkata, BERJASA turut bersedia menerima pelawaan daripada mana-mana parti untuk bekerjasama, dengan syarat ia mestilah membersihkan partinya daripada korupsi dan bebas tuduhan rasuah.
Sementara itu, BERJASA dan beberapa parti lagi yakin PRU15 mampu memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Zamani berkata Kebencian rakyat kepada parti-parti sedia ada akan memberikan kelebihan kepada jajaran baharu ini kerana parti berkenaan gagal dalam menjalankan mandat rakyat bahkan lebih kepada kepentingan kuasa individu semata-mata.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/21/umno-dalam-bahaya-jika-terus-beri-muka-pada-mca-ridhuan-tee/