KUALA LUMPUR, Sabtu – Penetapan baharu mengenai Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 342) dibuat serta disemak semula mengenai kedudukan Bahasa Melayu dalam pentadbiran negara seperti dalam sistem pendidikan, perbicaraan di mahkamah serta dewan perundangan supaya tidak dijadikan bahan polemik.
Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Datin Dr Faridah Jalil berkata hampir 51 tahun peruntukan itu tidak pernah disemak semula walaupun banyak berlaku perubahan dalam dasar negara berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan atau rasmi disangga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 342), yang kini berusia hampir 59 tahun jika dihitung dari 1963 dan hampir 55 tahun jika dihitung dari 1967. Akta 342 ini juga disemak untuk kali terakhir pada 1971,”
Menurut beliau, ia menimbul kemusykilan apabila peruntukan itu yang menjadi pasak pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dikaji semula walaupun pejuang, pakar bahasa dan kerajaan menyedari kedudukan bahasa ini terumbang-ambing.
Menerusi penulisan beliau di BH, badan Eksekutif perlu tegas mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara bagi urusan dalaman pentadbiran dan merangka dasar terbaru mengenai kedudukan bahasa Melayu selari dengan pembentukan perpaduan dan hubung kaitnya dengan tamadun.
Tambahnya, pembentukan dasar terbaru membolehkan dewan perundangan menghasilkan undang-undang bahasa yang jitu untuk memandu pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta menutup tohmahan mengenai kedudukan Bahasa Melayu.
Beliau berkata selepas 10 tahun, Perkara 152 sepatutnya dipindahkan menjadi satu peruntukan di Bahagian I Perlembagaan yang dikhususkan sebagai, ‘Negeri-negeri, Agama, Bahasa dan Undang-undang bagi Persekutuan’. Akta 342 pula sewajarnya digantikan dengan peruntukan baharu lebih tegas dan terarah berkait penggunaan Bahasa Melayu.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/19/umno-bn-negeri-sembilan-sedia-tanding-sendirian-dalam-pru/