KUALA LUMPUR, Jumaat – Remaja menghidap Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa menjadi mangsa penderaan bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini bagi proses sesi pengecaman terhadap beberapa saksi kes berkenaan, selain pengecaman saksi ke atas Bella. Siti Bainun pula dilaporkan media tidak dapat menahan sebak ketika melihat kelibat Bella.
Remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella yang didakwa menjadi mangsa pengabaian di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur hari ini.
Remaja itu dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk melakukan sesi pengecaman terhadap beberapa saksi kes berkenaan, selain pengecaman saksi ke atas Bella. Bella 13 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi menaiki van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Media tempatan hari ini melaporkan, sesi hari ini bersambung dengan pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadap saksi kelapan Suhana Zam, 40 tahun. Saksi berkenaan yang merupakan Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman adalah rakan kepada Siti Bainun yang dikenali sejak 10 tahun lalu ketika bertugas di Menara Dato’ Onn.
Pengasas Rumah Bonda yang dituduh mengabai dan menganiaya Bella, Siti Bainun Ahd Razali dilihat tidak dapat menahan sebak ketika mangsa dan lima lagi kanak-kanak jagaannya ketika dipanggil ke mahkamah hari ini.
Siti Bainun, 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Remaja OKU itu yang kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban sepatutnya hadir dua kali sebelum ini iaitu pada 31 Mei lalu dan 4 hari lepas. Namun, ia terpaksa ditangguhkan kerana remaja Sindrom Down tersebut demam.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/18/demonstrasi-aman-peguam-malaysia-hal-kebebasan-badan-kehakiman/