KUALA LUMPUR, Rabu – Malaysia menamatkan kemarau lebih 40 tahun gagal layak secara merit ke Piala Asia selepas menumpaskan Bangladesh dengan keputusan empat gol berbalas satu.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengumpul enam mata sekali gus muncul antara lima naib juara terbaik yang layak ke kejohanan itu pada tahun hadapan. Pasukan negara akan berentap bersama 23 pasukan terbaik benua ini yang berkemungkinan akan berlangsung sama ada di Korea Selatan atau Jepun, pada pertengahan tahun depan.
Malaysia seawal minit pertama permainan dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang Bangladesh bagi menguji penjaga gol lawan, Anisur Rahman.
Stadium Nasional Bukit Jalil akhirnya bersorak selepas Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-16 untuk meletakkan Malaysia didepan. Selang beberapa minit kemudian Mohammad Ibrahim menanduk masuk hasil lontaran ke dalam pada minit-31, menjadikan kedudukan 1-1. Gol itu nyata mengejutkan kem negara yang terus memburu gol kedua dan hasilnya kemudian Dion Cools merembat kencang untuk gol pertamanya buat negara.
Kemasukan Darren Lok, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor menambah sengat di jentera depan dan hasilnya Darren menolak mudah hantaran Akhyar pada minit ke-73, menjadikan gol keduanya di pentas antarabangsa. Tuan rumah sebenarnya mampu menambah gol, tetapi percubaan Syamer Kutty Abba dan Akhyar gagal menemui sasaran dan keputusan 4-1 kekal hingga tamat aksi.