KUALA LUMPUR, Rabu – Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah menarik balik rayuan komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. Ia membabitkan dua rayuan oleh bapa arwah Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Tommy mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.
Bagaimanapun peguam cara mewakili Mohd Kassim, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates dalam kenyataan kepada media hari ini berkata tindakan itu sesekali tidak mengubah keputusan dan dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 bahawa mangsa meninggal dunia kerana perbuatan jenayah.
Kenyataan itu menjelaskan rayuan itu ditarik balik kerana pihak keluarga tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan. Tambahnya, pihak keluarga Muhammad Adib turut berharap masyarakat dapat menerimanya, sekali gus membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu.
Menurut kenyataan itu, pendirian keluarga Allahyarham untuk menarik balik rayuan komital juga tidak bererti usaha mencari pembunuh arwah Muhammad Adib tidak boleh diteruskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.
Kata kenyataan itu lagi perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/15/afghanistan-russia-sedia-pertimbang-iktiraf-kerajaan-taliban/