Kuala Lumpur, SELASA – Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayub kepada sektor pendidikan terutamanya pendidikan orang Melayu di negara ini cukup besar termasuk perintis kepada penubuhan sebuah institusi pendidikan tinggi terpenting negara.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, sehingga kini ribuan graduan anak Melayu dalam pelbagai bidang profesional telah dilahirkan melalui Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Allahyarham Tun Arsyad dikenali sebagai seorang pejuang bangsa Melayu dalam bidang Pendidikan dan merupakan pengasas kepada UiTM yang wujud pada hari ini.”
Beliau berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara terutama orang Melayu dan amat sukar dicari ganti.
Tambah Aminuddin, PEMBELA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Arshad, 93, menabur bakti di ITM sejak 1967 hingga 1975 meninggal dunia pada 2.06 pagi tadi selepas dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Damansara sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.
Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor petang tadi.
Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/13/pindaan-memansuhkan-hukuman-mati-mandatori-akan-dibentangkan-pada-oktober-wan-junaidi/