PUTRAJAYA, Isnin – Pindaan perundangan berkaitan memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka akan dibentangkan pada sidang parlimen pada Oktober ini, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, Malaysia tidak akan mengenakan lagi hukuman mati mandatori bermula Januari tahun depan jika semua berjalan mengikut perancangan.
Malah, beliau menambah bahawa moratorium pelaksanaan hukuman mati, yang dilaksanakan sejak 2018, akan kekal selagi pindaan itu belum dimuktamadkan.
“Hukuman alternatif berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori adalah mengikut budi bicara mahkamah,” katanya.
Wan Junaidi juga berkata kerajaan tidak boleh meringankan hukuman terhadap mereka yang sedang dihukum mati kerana pindaan itu masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata tribunal akan ditubuhkan untuk mengkaji kes mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori.
“Di Dewan Negara akan dibincang pada Disember dan Insyaallah Januari 2023 kita sudah ada undang-undang yang dimansuhkan secara realiti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan akan memansuh hukuman mati mandatori di negara ini. Bagaimanapun, ia akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung Rabu lalu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menjelaskan bahawa hukuman mati akan kekal bagi kesalahan besar, tetapi tidak akan ada lagi hukuman mati mandatori.
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/10/140-ngo-serah-memorandum-bantahan-terhadap-suruhanjaya-tinggi-india/