Petaling Jaya – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon terkejut dengan keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mengundurkan diri meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT). Pengendali dari Korea Selatan itu juga menggesa bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu untuk pertimbangkan semula keputusannya.
“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.”
Malah sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur lagi, Pan Gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.
“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” – kata Kim Pan Gon.
Dalam kenyataan peribadi beliau, Tunku Ismail telah berjaya membawa pasukan Harimau Selatan itu ke tahap yang membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia. Mentaliti kemenangan dan pengurusan yang baik yang diterapkan oleh Tunku Ismail merupakan faktor utama perubahan dalam bola sepak tempatan. Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan juga.
Tambah Pan Gon, dengan prestasi yang disumbang JDT ini, ia secara langsung dapat meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak yang lain.
Pautan Kenyataan FAM : https://www.facebook.com/100031897353455/posts/pfbid035yATVvLL9hFYJJ4JXhrD3S7aXom1wVrWNHqWzNfiDt4wmLHb3xdDd4L6hMtQ8oHTl/?sfnsn=mo
Berita Berkaitan : https://tvpertiwi.com/2022/06/09/tmj-undur-diri/