Kuala Lumpur – Dua Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori ‘Inovasi’ manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tercalon bagi kategori ‘Menangani Cabaran’.
Tiga lagi kategori adalah Cabaran Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar dan Menyokong Kehidupan Sihat.
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia itu dilancarkan oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express pada tahun ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai ASD250,000 (RM1,098,302).
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bertujuan meraikan sekolah yang memainkan peranan penting dalam membangunkan generasi masa depan dan memberi sumbangan besar terhadap kemajuan masyarakat terutama semasa pandemik Covid-19.
Para pemenang akan diumumkan pada Oktober 2022 di World Education Week dan setiap pemenang akan menerima AS$50,000.
Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota pula berkata, sekolah disenarai pendek tersebut dipilih menerusi penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid, membawa perubahan kepada komuniti serta menjadi sekolah contoh.
“Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada SK Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan. Kini, para pendidik di seluruh dunia akan dapat belajar daripada sekolah-sekolah Malaysia yang cemerlang ini,” katanya.
Pautan BERNAMA : https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2089430
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/09/bekalan-pasport-cukup-kesesakan-ekoran-peningkatan-mendadak/