Kuala Lumpur – Festival Bon Odori satu bentuk promosi yang dilihat seperti usaha menormalisasikan penglibatan orang Islam.
Justeru itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Shah Alam mendesak penganjur Festival Bon Odori menarik balik poster yang memaparkan ilustrasi wanita bertudung bagi mempromosikan program berkenaan.
“Sabda Rasulullah ﷺ bahawa barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah daripada kalangan mereka. Maka, adalah difahami bahawa menyerupai orang kafir dalam perayaan mereka adalah dilarang. Hadis itu bertujuan untuk menjauhkan umat Islam daripada mengikuti apa jua perkara yang menjadi syiar khusus orang bukan Islam.”
Yang Dipertua ISMA Shah Alam, Fakrur Radzi Mohd Omar berkata, tindakan itu perlu untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam terhadap festival yang jelas bercanggah dengan agama Islam.
Memetik Ismaweb, Fakrur berkata, mengingati roh nenek moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya adalah larangan di dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.