Kuala Lumpur – Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang dilancarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Yayasan Maghfirah masih lagi diteruskan dengan menyerahkan memorandum bantahan penjualan minuman keras di plaza Southville City menerusi ISMA Sepang.
Bantahan itu membabitkan tiga premis kedai serbaneka yang dijual secara terbuka, selain terdapat arak diletakkan di atas rak biasa tanpa label minuman keras.
Memetik ismaweb.net, memorandum bantahan itu diserahkan Yang Dipertuan ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan kepada pengurus dan jurujual premis berkenaan dan turut disertai Surau Al-Hidayah Southville City.
Ustaz Ibrahim berkata, penyerahan bantahan itu adalah untuk menyelamatkan pekerja muslim yang terpaksa menyusun dan menjual arak walaupun ia ditegah oleh Islam serta menjadi kesalahan di bawah Enakmen Syariah Negeri Selangor.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hidayah Southville, Ustaz Fauzi berkata, penjualan arak secara terbuka adalah tidak wajar di kawasan itu kerana 98 peratus penduduk tempatan adalah dalam kalangan Melayu muslim.
Difahamkan, ISMA Sepang akan terus memantau penjualan arak di premis itu dan memberikan tempoh 21 hari sebelum tindakan seterusnya diambil.
Pautan Ismaweb : https://ismaweb.net/2022/06/09/kedai-serbaneka-southville-city-terima-memorandum-bantah-jual-arak/