Kuala Lumpur: Datuk Jamal Abdillah, 63, tidak berdepan masalah mengenai hubungan dengan anaknya termasuk isu dia dihalang bekas isteri berjumpa anaknya, Zaki Yamani.
Jamal ketika ditanya mengenai dakwaan itu berkata, dia akur dan menyerahkan aturan itu kepada bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad.
“Saya serahkan kepada Allah. Saya tak boleh buat apa. Kuasa pada mak dia. Saya tak nak bergaduh, nanti anak yang susah. Jadi saya serahkan kepada dia untuk uruskan.
“Saya sudah bersembang dan berbual dengannya. Saya pun ada terbabit dengan rakaman sebuah program pencarian bakat dengan Zaki,” katanya.
Penyanyi itu juga sentiasa menitikberatkan perhatian terhadap setiap anaknya. Malah, dia sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan mereka dalam hidupnya.
“Bila-bila masa, kalau nak duduk dengan saya, tak apa. Saya memang sudah sediakan semua. Jadi, tiada isulah saya nak terima kasih sayang daripada anak-anak. Saya sudah siapkan semua harta rumah apabila saya sudah tiada esok. Insya-Allah semua senanglah,” katanya.
Zaki yang juga penyanyi adalah anak daripada hasil perkahwinan Jamal dengan Fatimatuzahra.
Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki iaitu Osama Yamani hasil perkahwinan dengan Intan Noraina Mohd Yusof.
Pada 1 April 2017, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati Khiruddin dan dikurniakan tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3; El Isaac Yamani, 2; dan Iskandar Rayyan Yamani yang baru dilahirkan Februari lalu.