BANGI, 16 Mei 2022 – Sejak kebelakangan ini, ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen terhadap mata wang AS itu mengukuh.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berikutan data inflasi dari Amerika Syarikat (AS) nilai matawang itu terus kekal pada paras tinggi dengan data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini sebanyak 8.3 peratus pada April 2022 berbanding konsensus 8.1 peratus sekali gus menjangka ringgit akan terus mendatar.
Katanya kepada TV Pertiwi, apabila nilai Ringgit semakin merosot ia akan memberi implikasi kepada rakyat kesannya import menjadi lebih mahal, eksport lebih murah.
Pergantungan kepada import juga akan menyebabkan berlaku inflkasi seperti harga ayam yang naik mendadak berikutan makanan ayam yang diimport dari luar.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff yang dihubungi TV Pertiwi berkata meskipun kerajaan memberi subsidi kepada barangan namun itu dianggap hanya memberi beban kepada kerajaan sekitar RM28 hingga 30 billion untuk dibelanjakan sebagai subsidi dan mungkin ini menjadi dilema dengan subsidi dikurangkan dan dijadikan sebagai bersasar.
Dr Razman turut menggesa kerajaan melihat ringgit menjadi kukuh melalui pendekatan baharu seperti pendigitalan, tetapi yang lebih penting adalah impak daripada kemerosostan ringgit Malaysia tidak memberi kesan yang genting buat rakyat pada waktu ini.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menolak menambat ringgit disebabkan faktor ekonomi global kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan juga ketidak tentuan di China disebabkan mereka menutup banyak sektor ekonomi bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun bagi Dr Razman berkata, strategi menambat ringgit tidak menyelesaikan masalah kerana turun naik ringgit adalah tidak stabil. Jadi apabila berlaku isu global, kerajaan terpaksa menggunakan rezab negara sendiri bagi menampung kos pendapatan.
Oleh itu katanya, menambat US dolar bukan penyelesaian yang perlu diambil buat masa sekarang tetapi perlu kepada usaha sebagaimana boleh mengukuhkan ringgit dengan meningkatkan eksport.
Kerajaan juga boleh memikirkan satu mekanisme untuk menambat kepada komuditi supaya tidak tertakluk kepada spekulasi yang boleh merugikan negara.
Dalam masa yang sama, BNM menaikkan Dasar Semalaman (OPR) kepada dua peratus supaya tidak berlaku inflasi yang lebih teruk pada masa akan datang.
Namun apabila OPR dinaikkan, kos pembiayaan akan meningkat dari segi komitmen bulanan, bayaran hutang kepada bank meningkat dan ringgit merosot sekali gus akan memberi tekanan kepada rakyat untuk berhutang dengan bank.
Menurut Dr Razman, ini menyebabkan kos barangan meningkat ditambah pula ketidak tentuan geopolitik Rusia-Ukraine dan sebagainya menyebabkan harga barangan kekal tinggi termasuk harga komoditi seperti minyak sawit juga kekal tinggi dan cabaran kos sara hidup rakayt meningkat.
Justeru itu, rakyat dinasihatkan membuat pengurusan kewangan sebaiknya dan bukan masa untuk menambah hutang baharu jika sukar untuk menampung komitmen.
https://www.youtube.com/watch?v=0jbkabiCSaU&ab_channel=BuletinPertiwi