Kluang: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru susulan penahanan lima suspek termasuk dua warga asing, semalam.
Pegawai Pemerintahnya Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya turut merampas dua lori digunakan suspek selain bahan bakar berkenaan, dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM300,300.
“Semalam, kira-kira 2 petang, sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Batalion 5 PGA menahan tiga warga tempatan dan dua warganegara asing yang berumur lingkungan 34 hingga 42 tahun di sebuah premis di Taman Wawasan, Kulai.
“Polis membuat rampasan iaitu dua lori, lima tong minyak kosong berkapasiti 1,000 liter, tong besi yang diubah suai berkapasiti 4,000 liter yang berisi anggaran 1,000 liter diesel, lima unit pam minyak diesel berserta hos.
“Turut dirampas, tiga tong minyak 1,000 liter berisi anggaran lebih kurang 1,000 liter setiap tong, sebuah tangki besi berkapasiti 20,000 liter berisi lebih kurang 16,000 liter minyak diesel bersubsidi selain sebuah tangki besi penuh berisi kira-kira 20,000 liter minyak bersubsidi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor untuk tindakan Ianjut.
Katanya, disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.