BANGI – Profesor Dr. Roshana Takim, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tular dengan kes dengan muridnya direhatkan daripada tugas pengajaran bermula Jumaat (1 April).
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur.
Dr. Roshana sebelum ini dibelenggu kontroversi apabila video yang memaparkan dia sedang memarahi seorang pelajarnya menjadi tular di media sosial.
“Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada 31 Mac 2022 telah berkeputusan untuk merehatkan Profesor Dr. Roshana Takim, daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UITM. ”
Keputusan berkenaan dibuat adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur, dalam kenyataan pihak pengurusan UiTM.
Sementara itu, UiTM turut menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.
“UITM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran (posting) yang mengelirukan,”
Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.
Dan dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.