27 Mac 2022, BANGI – Masyarakat Islam di Selangor akan kembali bersolat jemaah tanpa penjarakan sosial bermula 1 April depan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan supaya solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri dirapatkan saf berkuatkuasa 1 April.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan ketetapan itu dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, JAIS, Timbalan Mufti Selangor, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta beberapa orang Ahli Dewan di-raja Selangor.
Katanya, baginda berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan institusi masjid serta surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah di Selangor.
Selain solat jemaah solat tarawih juga dibenarkan untuk dilaksanakan sebanyak 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.
“Baginda juga berkenan solat tarawih dibenarkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di negeri ini. Hanya individu berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksin COVID-19, membawa sejadah dan memakai pelitup muka sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau.’’ – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad
Sementara itu individu yang bergejala diminta menangguhkan daripada menghadiri sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan baginda menasihati rakyat Selangor untuk terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.
ENDS