Setelah tiga tahun umat Islam tidak dapat menunaikan solat berjemaah secara lazim dengan merapatkah saf, akhirnya menjelang 1 April ini umat Islam dapat kembali semula merapatkan saf.
Dalam satu kenyataan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan atau saf dirapatkan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 1 April ini.
Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.
Setelah mengambil kira pelbagai faktor. Sukacita saya umumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April. pic.twitter.com/vgRQwjBM2C
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) March 8, 2022
Jelasnya, fasa peralihan ke endemik ini merupakan ‘exit strategy’ untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.
Merapatkan saf dalam solat merupakan satu nikmat selain menggambarkan keteguhan umat Islam berdiri sama baris sebagai hamba menyembah yang Maha Esa sepertimana firman Allah SWT dalam Surah As-Saff ayat empat yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Malah merapatkan saf bukan sekadar merapatkan bahu dengan orang sebelah tetapi memberi makna bahawa kesatuan umat Islam yang penting dan perlunya hubungan yang rapat supaya dapat bantu-membantu dalam menegakkan kalimah Allah serta agama Islam.
Keputusan merapatkan saf ini dianggap satu hadiah kepada umat Islam di Malaysia dalam menyambut bulan Ramadan tahun ini yang berbeza dengan keadaan umat Islam semasa Ramadan tahun lalu dan sebelumnya yang perlu akur menunaikan solat dengan penjarakan satu meter.
Selain itu, Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail memaklumkan, pihaknya juga menetapkan supaya jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.
Dalam pada itu, kehadiran ke masjid dan surau pula dibenarkan tanpa had umur dan mereka yang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
Malah, kelonggaran turut diberikan masjid dan surau untuk melaksanakan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan dan mendirikan Qiamullail di masjid dan surau mulai tengah malam.
Ini menggambarkan umat Islam semakin kembali menyambut bulan Ramadan seperti sedia kala sebelum wabak Covid-19 melanda negara.
Lebih menggembirakan apabila saat yang dinantikan dan diharapkan umat Islam iaitu majlis berbuka puasa, moreh dan sahur yang seakan-akan menjadi tradisi pada bulan puasa turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau.
Menurut Mohd Ajib, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.
Jelasnya, ketetapan terkini solat berjemaah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kelonggran SOP yang diberikan ini perlu dimanfaatkan umati Islam sebaiknya dan berusaha merebut peluang ini membaiki diri terutama bila menjelang bulan Ramadan.
Tidak lupa juga diingatkan supaya bermunajat kepada Allah semoga diangkat wabak Covid-19 dalam negara dan menjadi sebaik-baik negara “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Rafur.”
“ (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”
(Surah Saba’ ayat 15)
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA