Dalam hantaran itu Shuib berkata, beliau dan Sarah mengunjungi dewan di pusat jagaan anak yatim berkenaan pada 25 Julai tahun lalu, beberapa bulan sebelum pemergian Allahyarham.
“Sarah (Allahyarham) terlalu gembira berkunjung ke sana, dapat bertemu anak-anak yatim itu. Sara juga berpeluang untuk menyumbang untuk melengkapkan dewan solat dan dewan serba guna berkenaan yang hampir 70 peratus siap. Arwah bersungguh-sungguh mahu menyumbang kerana katanya selain anak-anak yatim itu, penduduk kampung juga boleh menggunakan dewan berkenaan.”
Dewan berkenaan dinamakan Musolla dan Dewan serbaguna Sarah Muslim Al-Attas.
Ujar Shuib, pengurusan Rumah Anak Yatim berkenaan memutuskan untuk meletakkan nama Sarah selain beberapa individu lain, sebagai penghargaan kepada sumbangan masing-masing.
“Terima kasih sayang kerana mengajar daddy tentang sedekah, mengajar tentang yakin dan percaya kepada kuasa sedekah dan membuatkan daddy suka bersedekah. Semoga pahala terus mengalir untuk mu sayang”
Siti dan seluruh keluarganya positif COVID-19 pada 27 Julai tahun lalu.
Pada 4 Ogos 2021, Sarah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz in Universiti Kebangsaan Malaysia selepas paras oksigennya menurun akibat dijangkiti COVID-19.
Allahyarham pada ketika itu hamil tujuh bulan dan terpaksa menjalani pembedahan Cesarean bagi mengeluarkan bayinya, Ayash Affan yang kini berusia lebih kurang lapan bulan.
Pasangan berkenaan memiliki tiga anak lain iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra and Ariq Matin.
Al fatihah buat Sarah.