Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sebelum aplikasi itu dilancarkan pada 20 April 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan telah memeterai Perjanjian Ketakdedahan (NDA) dengan KPISOFT Sdn Bhd pada 1 April 2020, dengan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Antara terma utama yang terkandung dalam perjanjian NDA itu, katanya, termasuklah berkenaan hak milik setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak Kerajaan.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh KKM sahaja. Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa,”
Berhubung keselamatan aplikasi dan data MySejahtera, Khairy memaklumkan Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sudah menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan aplikasi itu selamat, termasuk pengujian penembusan dan kerentanan sebelum ia dilancarkan.
Katanya, NACSA juga menjalankan audit keselamatan berkala setiap bulan dan melaksanakan ujian penembusan dari semasa ke semasa, selain turut melaksanakan audit jejak kepada pangkalan data yang menyimpan data MySejahtera ini.
Menerusi audit jejak itu, katanya, kerajaan dapat mengetahui sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mendaftar masuk ke dalam sistem pangkalan data dan menggunakan data itu untuk sebarang bentuk tujuan.
“NACSA melalui Cyber Coordination and Command Centre (NC4) memantau keselamatan secara berterusan ke atas aplikasi MySejahtera untuk mengesan sebarang pencerobohan.
“Syarikat pengendali MySejahtera juga telah menerima piawaian ISO270001 (ISMS), iaitu spesifikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat meliputi dasar dan pengurusan keselamatan maklumat, keselamatan fizikal dan persekitaran, keselamatan komunikasi dan keselamatan sumber manusia. Berdasarkan fakta ini, saya ingin tegaskan setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan terjamin keselamatan dan kerahsiaannya.”
“Saya berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya. – Berita Harian