Shah Alam: Sebanyak 1,163 kemalangan direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding Op Selamat 16 pada 2020 yang merekodkan 1,649 kemalangan.
“Kemalangan maut juga menurun iaitu enam kes direkodkan setakat ini berbanding 11 kes pada Op Selamat 16 dan kita mengharapkan yang terbaik supaya tidak ada lagi kemalangan yang berlaku selepas ini,” katanya kepada pemberita pada Op Bersepadu sempena Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina 2022 di bekas tapak Plaza Tol Sungai Rasau arah Klang di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga memberikan tumpuan kepada beberapa laluan ‘black spot’ iaitu lokasi yang sering berlaku kemalangan di negeri ini termasuk Persiaran Tengku Ampuan dan Jalan Meru di Klang; Persiaran Surian di Petaling Jaya; Jalan Nilai ke Bukit Changgang di Sepang, MRR2 di Ampang Jaya dan Jalan Klang-Banting.
Dalam perkembangan lain, Arjunaidi memaklumkan bahawa seorang lagi individu ditahan dipercayai terbabit dalam kes pengeluaran sijil vaksinasi digital tanpa suntikan.
Katanya, penahanan individu berkenaan menjadikan lapan orang ditahan setakat ini.