KUALA LUMPUR: Bagi yang belum tahu, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, setakat ini adalah satu satunya Hotel bertaraf lima bintang yang mendirikan solat Fardhu Jumaat.
Sejak 7 bulan lalu, iaitu bermula pada Ogos 2021, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan.
Dengan kapasiti melebihi 100 orang dalam satu satu masa, solat Jumaat ini bukan sahaja dihadiri oleh petugas dan pekerja hotel itu, malah pekerja ofis berdekatan juga turut bersama sama mendirikan solat Jumaat.
Pengurus Besar Royal Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin berkata, idea ini tercetus selepas pihak pengurusan hotel mengadakan Solat Sunat Aidilfitri tahun lepas.
“ Sememangnya idea asal nya bermula dengan pihak kami mengadakan Solat Sunat Hari Raya pada tahun 2021 untuk para pekerja yang tidak pulang ke kampung. Dari situ timbulnya idea untuk mengadakan solat Jumaat di sini” – BADRUL REZAL BAHARUDIN / Pengurus Besar Royale Chulan KL
Jelas Badrul lagi, selepas mengadakan solat hari raya, pihaknya memohon kepada Pejabat Agama Wilayah Persekutuan untuk diadakan solat jumaat bagi jemaah yang tinggal dan bekerja berdekatan dengan hotel terbabit.
Untuk rekod, setakat ini Hotel yang dimiliki penuh oleh Bumiputra ini, memiliki 7 cawangan iaitu satu di Kuala Lumpur, 2 di Damansara, 1 di Cherating, dan masing masing 1 di Seremban dan Pulau Pinang termasuk sebuah hotel di luar negara iaitu di London.