ISNIN, 31 JANUARI – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan alasan beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jelasnya beliau tidak mahu berselindung di sebalik kedudukan politik susulan sedang menghadapi pendakwaan dalam mahkamah.
“Paling utama ialah kerana saya sedang menghadapi pendakwaan dalam mahkamah. Lagipun, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), memang saya berhajat untuk memberi laluan kepada calon baharu dalam kalangan bakat baharu.”
– TAN SRI SHAHRIR SAMAD, Veteran UMNO
Ketika ini beliau sedang menghadapi kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tuduhan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Justeru katanya, tidak wajar beliau mewakili mana-mana parti sebagai calon bertanding dalam PRN Johor mahupun Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau turut menjelaskan, keadaan itu tidak sama seperti ahli politik lain yang tetap mahu bertanding walaupun berhadapan tuduhan jenayah pecah amanah.
Shahrir turut mendakwa, walaupun pendakwaan terhadap dirinya adalah keputusan politik dan selektif tetapi beliau tidak mahu berlindung di sebalik kedudukan politik.