ISNIN, 31 JANUARI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat lebih kepada medan pertembungan parti-parti politik Melayu berebut kuasa berbanding mahu mendapat mandat baharu rakyat.
Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, lebih mendukacitakan parti-parti politik Melayu ini lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan taksub kepartian sempit.
“Permuafakatan parti politik dalam PN dan MN masih terkial-kial dan dinilai sebagai pemuafakatan terlalu rapuh kerana tiada agenda besar untuk bangsa.”
-Ustaz Sharipudin Abdul Kadir, Pemerhati Politik
Memetik ISMAWEB beliau berkata, lihat sahaja kepada ucapan pimpinan parti yang terlibat seolah-olah pengisytiharan perang antara parti-parti Melayu.
Tambahnya, permuafakatan mereka dalam PN dan MN masih terkial-kial dan dinilai sebagai pemuafakatan terlalu rapuh kerana tiada agenda besar untuk bangsa.
Sharipudin turut mempersoalkan adakah PRN Johor memberi keuntungan kepada rakyat sedangkan apa yang berlaku adalah perpecahan Melayu yang semakin parah.
Dalam masa yang sama duit 150 juta ringgit yang dibelanjakan untuk PRN Johor akan hangus begitu sahaja.
Ujar Sharipudin, bila kepimpinan negara diberi kepada mereka yang tidak ada akhlak dan amanah ia memperlihatkan langkah bermula menuju kehancuran.
Katanya, rakyat diperbodohkan dengan pelbagai dakwaan kononnya untuk membentuk kerajaan kuat perlu kepada PRN tetapi bila diteliti ia hanya dakwaan palsu.
Lebih dikesalkan katanya, harapan rakyat untuk melihat penyatuan umat tidak dihiraukan oleh ahli-ahli politik.