ISNIN, 31 JANUARI – Beberapa rumah rosak dan pokok tumbang akibat ribut di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di sini akibat ribut lewat petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.40 petang memaklumkan kejadian ribut kawasan sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas sebelum anggota bergegas ke lokasi.
Menurut, (JBPM), setibanya di lokasi didapati beberapa pokok tumbang dan rumah rosak dan tiada kecederaan dilaporkan tetapi pemantauan masih diteruskan.
Terdahulu tular di media sosial berkenaan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh terutama di Kampung Tawas.
Rata-rata mangsa terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira jam 6 petang semalam.
Saksi Mita Devi berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata, semua mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.