ISNIN, 31 JANUARI – Polis menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi diadakan di ibu negara tahun lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SUPT. Zulkafli Chek Lah, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berkata:
“…ahh untuk mabuk ahhhh,memandu di bawah pengaruh alkohol kita telah menangkap sebanyak 192 orang dalam masa sebulan,192 dan lain lain kesalahan 4 dan 5 lah iaitu sekyen 50 dan seksyen 108 jumlah tangkapan buat masa sebulan ni sebanyak 235 orang
Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Januari hingga semalam, seramai 235 individu ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.
Sementara itu, katanya dalam operasi dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.
-Haffiz Aziz