JUMAAT, 28 JANUARI – Kerajaan Persekutuan akan terus mendukung semangat muafakat dan kerjasama dalam kalangan parti gabungan yang membentuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata dasar kerjasama rentas sempadan kepartian termasuk dengan pembangkang akan terus dilaksanakan khasnya bagi perkara berkaitan kepentingan rakyat.
Menerusi catatan di akaun Twitter, Annuar menggesa parti politik Melayu, bumiputera dan Islam terlebih dahulu berusaha memperkukuh muafakat dan kerjasama untuk terus mampu memimpin selari dengan apa yang ditunjukkan dalam sejarah perjuangan Islam.
Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh berkata :
“Hak dan kebebasan setiap parti gabungan terus dihormati. Inilah ‘Orde Baru’ politik masa kini yang lebih matang, lebih luas dan lebih terbuka. Tidak perlu berpatah arang berkerat rotan,”
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ketereh itu berkata pendekatan seperti tidak menghalang parti-parti gabungan bersaing secara demokratik di peringkat negeri dengan terus memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan.