JUMAAT, 28 JANUARI – Gelombang Omicron sudah bermula di negara ini. Mengesahkannya – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau juga memberi amaran bahawa kes COVID-19 berkaitan varian itu akan naik, namun yakin keadaan dapat dikawal dengan baik.
Setakat 25 Januari lalu secara keseluruhan negara ini sudah mengesan 601 kes COVID-19 yang ada kaitan dengan varian Omicron.
Daripada jumlah itu, 90 peratus atau 545 kes adalah diimport. Bagaimanapun, terdapat 56 kes penularan tempatan dengan 34 daripadanya dilaporkan di Sarawak, dan 12 di Selangor.
Kes penularan tempatan juga dilaporkan di Kedah, Labuan – Dengan masing-masing empat kes – serta dua kes lagi di Sabah.
Manakala angka harian positif COVID-19 pada 27 Januari merekodkan peningkatan kes kepada 5,439 kes baharu berbanding semalam 4, 744 kes.
Angka ini adalah yang tertinggi sejak kali terakhir dicatatkan 2 bulan lalu. Setakat ini, jumlah keseluruhan kumulatif kes positif telah berjumlah sebanyak 2,850,408 kes.
Untuk kemas kini data harian dan pecahan kes negeri akan dimuat naik di laman portal COVIDNOW selepas tengah malam.