KHAMIS, 27 JANUARI – UMNO dan Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata;
“perkara itu masih diteliti secara mendalam buat masa ini.”
Jelasnya lagi UMNO perlu melihat dan mengkaji dengan teliti sama ada mahu bekerjasama dengan PAS ataupun tidak kerana majoriti kepimpinan pada semua peringkat bahagian serta akar umbi mahukan BN bergerak bersendirian dalam PRN Johor.
Namun pada peringkat pemimpin tertinggi, Tok Mat berkata, pihaknya akan meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum apa jua keputusan dibuat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Doktor Ahmad Zahid Hamidi, dengan komponen BN Johor.