KHAMIS, 27 JANUARI – Parti BERSATU sudah mengenal pasti calon sesuai untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri, berkata calon bakal menggantikan Muhyiddin yang membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor kelak diyakini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi.
Tan Sri Muhyiddin sudah meminta kepemimpinan Bahagian BERSATU Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di bahagian ini.
Justeru, Ledang sudah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi.
Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mengesahkan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Gambir yang disandangnya sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN Johor.
Mohd Solihan berkata, keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga dibuat kerana beliau mahu fokus dan memberi komitmen untuk memperkasakan jentera parti bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) kali ini.
Katanya, tanpa terikat sebagai calon, bekas Perdana Menteri kelapan itu boleh memberi fokus sepenuhnya untuk tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.
Beliau berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.