SELASA, 25 JANUARI – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengatakan kecuaian perubatan Israel menjadi punca di sebalik peningkatan COVID-19 di kalangan tahanan Palestin di penjara negara haram itu.
Ratusan tahanan Palestin di dua penjara Israel iaitu Ofer dan Eshel, baru-baru ini telah disahkan positif COVID-19, kata Pusat Maklumat Palestin, memetik sumber hak asasi manusia.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, kira-kira 100 banduan dijangkiti COVID-19 di Ofer (seksyen 17 dan 22) manakala 10 yang lain didapati positif di penjara Eshel, termasuk Nael al-Barghouthi, yang telah memasuki tahun ke-42 di penjara Israel.
Angka oleh Pusat Maklumat Palestin pada hari Isnin menunjukkan bahawa, dengan pesakit baharu, 526 banduan Palestin telah dijangkiti COVID-19 di penjara Israel sejak permulaan wabak itu.
Hamas menyalahkan rejim Israel atas penyebaran coronavirus di kalangan banduan Palestin di penjara, dengan mengatakan peningkatan itu adalah akibat kecuaian perubatan yang disengajakan.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan berkata, penularan penyakit itu di kalangan banduan mendedahkan ketiadaan sebarang langkah pencegahan atau penjagaan utama untuk banduan tersebut.
Pegawai Hamas itu menegaskan, rejim Tel Aviv bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kehidupan banduan Palestin, menggesa kumpulan hak asasi manusia dan Persatuan Palang Merah untuk menyediakan apa sahaja yang diperlukan untuk melindungi banduan tersebut dan mencegah penularan penyakit itu di kalangan mereka.
Lebih 7,000 tahanan Palestin kini ditahan di kira-kira 17 penjara Israel, dengan berpuluh-puluh daripada mereka menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup.
Lebih 540 tahanan, termasuk wanita dan bawah umur, berada di bawah tahanan pentadbiran Israel, di mana Israel menahan tahanan tanpa dakwaan sehingga enam bulan dan ke atas. – Agensi
-ismaweb.net