RABU, 26 JANUARI – Kedudukan Malaysia terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.
Keadaan itu menyaksikan negara terus jatuh berbanding pada tangga 57 pada tahun 2020.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden TI Malaysia (TIM), Dr. Muhammad Mohan ketika membentangkan CPI 2021 secara maya hari ini.
Menurutnya, kegagalan untuk melaksanakan reformasi terhadap beberapa institusi di dalam negara antara punca menyebabkan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021.
Antara faktor menyumbang kepada isu tersebut adalah ketiadaan kehendak politik oleh parti kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang Pendanaan Politik.
Katanya, kegagalan usaha mereformasi isu pendanaan terhadap politik negara itu membabitkan kesemua parti kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).