RABU, 26 JANUARI – Kesatuan Eropah (EU) memudahkan kebenaran perjalanan ke negara-negara blok itu tanpa mewajibkan kuarantin atau ujian saringan tambahan.
Setiausaha Hal Ehwal EU Perancis, Clement Beaune berkata, akses terbaharu itu hanya mengambil kira maklumat vaksinasi atau ujian saringan negatif COVID-19 tanpa sebarang perintah kuarantin.
“Saranan yang disemak akan mengambil kira situasi individu dan bukannya situasi epidemiologi negara mereka,” katanya selepas mesyuarat menteri bagi hal ehwal Eropah yang meluluskan langkah perjalanan tidak mengikat itu.
Sehingga kini, negara-negara EU boleh memperkenalkan langkah tambahan bagi mana-mana pengembara yang tiba dari negara berpotensi mempunyai kes jangkitan tinggi berdasarkan peta virus di Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Berdasarkan peraturan yang disemak semula dan sah mulai 1 Februari itu, pelancong memegang pas digital COVID-19 EU tidak diharuskan terikat dengan langkah sekatan tambahan seperti kuarantin atau ujian saringan apabila memasuki negara-negara EU lain.
Pas digital COVID-19 EU menjadi bukti jika individu terbabit telah divaksin, diuji negatif dan pulih sepenuhnya sekiranya pernah dijangkiti wabak itu.
Cadangan baharu itu juga menunjukkan bahawa sijil siri vaksinasi primer atau dos penggalak adalah sah selama 270 hari.
Bagi mereka yang tidak mempunyai pas digital COVID-19 EU, negara anggota juga harus menerima ujian saringan yang diambil dalam tempoh 24 jam dan bukan meminta saringan sebelum melakukan perjalanan.
Keputusan itu juga memerlukan peta virus rasmi untuk mempertimbangkan kadar vaksinasi setiap negara, selain keputusan ujian saringan mengikut situasi epidemiologi dan potensi jangkitan.
Bagaimanapun, peraturan baharu itu tidak mengikat secara sah untuk negara EU, kerana kerajaan sentiasa boleh memperkenalkan langkah lebih ketat untuk menghenyikan krisis kesihatan.- Agensi
-ismawe.net