SELASA, 25 JANUARI – Antara cara untuk menimbulkan jati diri adalah dengan mengangkat unsur-unsur kebangsaan terutamanya Bahasa Melayu.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Doktor Awang Sariyan berkata, unsur Bahasa kebangsaan perlu diterapkan dalam kehidupan termasuk nama tempat, seni bina, perumahan dan busana.
Beliau berkata, pengalaman semasa berada di luar negara yang dikunjungi seperti China memperlihatkan penggunaan unsur tempatan diserap dalam aspek kehidupan seperti aspek pentadbiran, pendidikan dan undang-undang menggunakan Bahasa kebangsaan mereka.
Begitu juga seperti negara Jerman, Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Indonesia yang mengangkat Bahasa kebangsaan mereka dengan menjadikan negara mereka bercirikan identiti kebangsaan.
Sehubungan itu, Profesor Awang Sarian menegaskan, unsur-unsur kebangsaan ini sangat penting diterapkan dalam negara kita.
Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka berkata :
“Caranya untuk menimbulkan jati diri kita perlu mengangkat unsur-unsur kebangsaan kita terutama bahasa kebangsaan kemudian ciri-ciri yang menggambarkan tamadun kita ciri setempat kita busana seni bina patut dipamerkan dipaparkan dalam pembinaan bangunan kerajaan bahkan perumahan mesti diusahakan penampilan ciri-ciri jati diri seni bina kebangsaan kita.”
“St Pol di Melaka tu kan bukit melaka jadi nama-nama yang tidak berkaitan sangat dengan jati diri kita mesti diubah supaya warganegara kita memahami tokoh-tokoh atau nama berkaitan pohon, flora dan fauna negara kita daripada kita mengagung-agungkan nama asing.”
Beliau yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM berkata, setiap pihak perlu mendukung usaha untuk memaparkan jati diri dan identiti negara.
Menurut Profesor Awang Sarian, paling penting adalah perananan pemimpin yang berkuasa mesti melaksanakan dasar negara yang ditentukan termasuk dalam aspek Bahasa Kebangsaan.
“Paling penting soal peranan penguasa atau pemerintah kerana pemerintah yang mempunyai kuasa eksekutif kita ada penggubal undang-undang parlimen sudah dilulus oleh parlimen kita ada badan eksekutif badan pelaksana menteri-menteri timbalan menteri ketua setiausaha kementerian ketua setiausaha negara pegawai penjawat awam itu mesti melaksanakan dasar negara yang sudah ditentukan.”
Dalam perkembangan lain kerajaan Indonesia membuat keputusan menamakan ibu negaranya yang baharu menggantikan Jakarta, dengan nama Nusantara.
Nama Nusantara menjadi pilihan Presiden Joko Widodo yang kemudian disetujui Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk diabadikan, sebagai ibu kota, menggantikan Jakarta.