SELASA, 25 JANUARI – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu ‘direhatkan’ serta-merta daripada memegang jawatan penting dalam parti termasuk kerusi Presiden UMNO.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, kekosongan tersebut sewajarnya dipangku oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehinggalah pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan.
Menerusi catatan terbaharu di laman Facebook nya, beliau berkongsi kebimbangannya UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Tambahnya, Keputusan PRU14 sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada UMNO bahawa pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah dan bergelumang dengan isu penyalahgunaan kuasa akan menjadi beban kepada parti dan dicemuh serta ditolak pengundi.
Dalam pada itu beliau berpandangan, Ismail Sabri perlu dipilih sebagai Presiden UMNO dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden bagi menjamin survival parti untuk menghadapi PRU15.