SELASA, 25 JANUARI – Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka berada di Johor sehingga esok bagi memperincikan butiran persiapan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sumber Umno berkata, kunjungan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu akan dimulakan dengan pertemuan tertutup bersama Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar.
Pertemuan tertutup itu akan diadakan di Saujana, Johor pada jam 8.30 malam ini dengan disertai pimpinan Umno Johor.
Jelas sumber itu juga, Esok pagi, Presiden dan Timbalan Presiden dijangka menyertai Mesyuarat Umno Johor bersama komponen Barisan Nasional (BN) di Bangunan Umno di Jalan Yahya Awal, bagi memperincikan butiran lanjut mengenai PRN Johor.
Setakat ini, ketetapannya memang Presiden dan Timbalan Presiden akan ke Johor Bahru mulai malam ini, namun ia tertakluk perubahan saat akhir.
Semalam, Umno dilaporkan mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRN Johor yang akan diadakan.
Mohamad dilapor berkata, jumlah itu tidak mengambil kira kerusi Dun bagi parti komponen BN.