SELASA, 25 JANUARI – Beberapa orang telah ditangkap pada hari Ahad selepas menyertai protes aman di luar kedutaan Israel di Washington, bagi membantah pengusiran paksa rakyat Palestin dari kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur dan kawasan lain di Palestin yang diduduki.
Pada awal hari itu, ratusan aktivis pro-Palestin berkumpul di hadapan kedutaan untuk membantah dasar Israel terhadap rakyat Palestin.
Selepas menghalang jalan di hadapan kedutaan, penunjuk perasaan memasang tiga khemah dan meletakkan sepanduk di hadapan pintu pagar bangunan.
Ramai penunjuk perasaan memakai keffiyeh hitam dan putih, selempang yang melambangkan penentangan Palestin terhadap penjajahan serta pendudukan rejim pengganas Israel, sambil mereka mengangkat sepanduk berkata, “Lepaskan Sheikh Jarrah!”
Pergerakan Belia Palestin (PYM), pertubuhan yang menganjurkan protes aman berkata, tujuh penunjuk perasaan telah ditangkap selepas protes dan mereka ditahan di dua presint di Washington.
Protes itu berlaku di tengah-tengah kecaman meluas terhadap keputusan Israel minggu lalu untuk merobohkan rumah keluarga Salhiya di Sheikh Jarrah, menyebabkan 18 orang, termasuk kanak-kanak, kehilangan tempat tinggal.
Perobohan itu dilakukan pada hari Rabu oleh operasi keselamatan besar Israel yang menyaksikan tentera Israel menyerbu rumah Mahmoud Salhiya dengan ganas sebelum menangkapnya, beberapa saudara dan penyokongnya.
“Kami semua keluar ke sini hari ini untuk membantah keterlibatan AS dalam jenayah perang dan membiayai jenayah perang yang Israel lakukan terhadap rakyat Palestin.
“Israel pada masa ini melakukan pembersihan etnik rakyat Palestin di Sheikh Jarrah, di al-Naqab, dan di al-Khalil. Dan kami tidak mahu duit cukai kami pergi ke arah itu,” kata penganjur PYM, yang enggan dikenali.
Ketika ini, 37 keluarga Palestin tinggal di Sheikh Jarrah, enam daripada mereka
menghadapi pengusiran yang bakal berlaku.
Sejak 2020, mahkamah Israel telah mengarahkan pengusiran 13 keluarga Palestin di kawasan kejiranan itu. Mei lalu, pengusiran paksa beberapa keluarga mencetuskan gerakan protes antarabangsa, dengan puluhan ribu orang berarak di Washington, New York, London dan banyak bandar utama lain di seluruh dunia.
Selebriti terkenal termasuk Bella Hadid, Mark Ruffalo, The Weeknd, Halsey, dan Kehlani, semuanya tampil sebagai solidariti dengan rakyat Palestin, sama ada secara langsung mengambil bahagian dalam protes atau berkongsi suara mereka di media sosial. – Agensi
-ismaweb.net