
( Oslo Jadi Tuan Rumah Perbincangan Taliban / sumber : ismaweb)
ISNIN, 24 JANUARI – Delegasi Taliban memulakan perbincangan selama tiga hari sejak semalam, bersama beberapa wakil masyarakat sivil Afghanistan di Oslo, lapor pihak berkuasa Norway.
Perbincangan hari pertama diketuai oleh Menteri Luar Sementara, Amir Khan Muttaqi yang diadakan secara tertutup, di Oslo selepas pihaknya menawarkan lokasi perbincangan.
Jurucakap Menteri Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi mengesahkan perbincangan berkenaan di Twitter sambil menyatakan, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan beberapa personaliti Afghanistan.
“Dalam perbincangan berkenaan semua peserta mendengar pendapat sambil bertukar pandangan dalam situasi semasa di negara sedang bergolak.
“Mereka bersetuju supaya semua rakyat perlu bekerjasama untuk memastikan keadaan politik, ekonomi dan keselamatan negara kembali stabil dan kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua peserta bersetuju dan memahami persefahaman serta menyifatkan kerjasama tersebut adalah jalan penyelesaian terbaik kepada Afghanistan.
“Semua peserta dengan satu suara menyifatkan perbincangan berkenaan adalah kepentingan kepada negaranya,” katanya.
Malah, kesemua delegasi berterima kasih kepada Norway yang memberi peluang sedemikian dengan menyediakan lokasi bagi mereka berhimpun dan menyelesaikan permasalahan.
Kenyataan berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang terlibat dalam perbincangan yang diadakan.
Perbincangan berkenaan diadakan berikutan kebimbangan terhadap situasi di Afghanistan sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan dan Norway bersedia menjadi tuan rumah untuk memberi peluang kepada perwakilan mengadakan perbincangan bermula 23 hingga 25 Januari.
Menteri Luar Norway, Anniken Huifeldt berkata, pihak amat bimbang tentang keadaan yang berterusan berlaku di Afghanistan, mengorbankan jutaan penduduk berikutan berdepan bencana kemanusiaan yang besar.
“Untuk dapat membantu penduduk di Afghanistan, adalah penting bagi kedua-dua masyarakat dan wakil Afghanistan dari pelbagai pihak terlibat dalam dialog dengan Taliban,” tambahnya.
Sehingga kini, separuh daripada penduduk Afghanistan berdepan kelaparan melampau selain kehilangan tempat tinggal, serta jutaan kanak-kanak tidak dapat meneruskan sesi persekolahan disebabkan keadaan politik yang tidak aman. – Agensi
-ismaweb.net