SELASA, 25 JANUARI – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memohon Peguam Diraja dari United Kingdom untuk rayuannya bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda 210 juta ringgit bagi kes melibatkan dana SRC International Sendirian Berhad di Mahkamah Persekutuan.
Mohd Ashrof Andrin Kamarul, Timbalan Pendakwa Raya berkata :
“Pembelaan akan menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan selewat-lewatnya esok mengenai hasrat untuk memohon Peguam Diraja dari UK untuk menghadiri dan berhujah mengenai rayuan Najib. Mahkamah menetapkan 28 Januari untuk pengurusan kes seterusnya bagi menentukan langkah berikutnya untuk rayuan,”
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Andrin Kamarul peguam utama Datuk Seri Najib — Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.
Pelantikan Peguam Diraja itu akan dibuat secara ‘ad-hoc’ selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia.
Mahkamah juga menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib untuk mengemukakan bukti baharu.
Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes S-R-C dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.