SELASA, 25 JANUARI – Semua pihak termasuk kepemimpinan Felda dan peneroka tanah rancangan tersebut perlu memberikan fokus utama dalam isu penyalahgunaan dadah di perkampungan Felda ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF), Yahya Zakaria berkata, penyelesaian isu tersebut juga perlu dijadikan tanda aras petunjuk prestasi utama (KPI) ketua-ketua peneroka dan pegawai-pegawai Felda terlibat.
“Saya cadangkan isu ini turut dijadikan tanda aras KPI semua pihak terutama ketua-ketua peneroka dan penerokawati, pegawai-pegawai Felda termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang wujud dan bergiat aktif di dalam kawasan Felda. Kuatkan tekad dan ikhlaskan niat untuk bersama-sama berusaha menyedarkan masyarakat dan perkara ini perlu mendapat sokongan moral dan dana peruntukan Felda dan kerajaan,” – Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF), Yahya Zakaria
Beliau dalam satu kenyataan mencadangkan isu ini menjadi tanda aras KPI semua pihak termasuk ketua-ketua peneroka, penerokawati pegawai FELDA, NGO yang wujud bergiat aktif dalam kawasan FELDA.
Memetik utusan tambah Yahya, dalam pada semua pihak kini mengejar kemajuan dan mahu mencapai sasaran tinggi, diharapkan supaya isu-isu masyarakat yang perlu dibendung segera seperti isu penagihan dadah di dalam tanah rancangan tidak dipinggirkan.
Katanya sebahagian penagih dadah ini telah lama lalai, jangan kita pula lalai untuk berusaha membantu dan mencegah masyarakat daripada terus rosak.
Kelmarin, media melaporkan polis menahan 41 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Op Tapis Khas dan Op Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin iaitu Felda Bukit Jalor, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.
Sebelum itu, seramai 17 orang lelaki ditangkap dalam Op Sarang yang dijalankan polis di lokasi tumpuan penagih dadah di dalam ladang kelapa sawit di Felda Palong 4, 5 dan 6 di Jempol.