ISNIN, 24 JANUARI – UMNO meletakkan sasaran 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah sasaran itu belum mengambil kira kerusi DUN bagi komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
“Kami menyasar minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira UMNO sahaja,”
Memetik laporan Berita Harian, beliau berkata, parti itu masih di peringkat perbincangan bersama rakan komponen dan akan memutuskan jumlah akhir tidak lama lagi.
Sebelum itu, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad memberitahu BN negeri itu bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN akan datang.
Beliau berkata namun keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.