AHAD, 23 JANUARI – Peru mengisytiharkan darurat alam sekitar pada Sabtu susulan tumpahan minyak di sepanjang pantainya disebabkan gelombang kesan letusan gunung berapi di Pasifik Selatan.
Menerusi perintah 90 hari itu, Kementerian Alam Sekitarnya berkata, mereka merancang mengurus 21 pantainya selepas dicemari 6,000 tong minyak yang tumpah dari kapal tangki di loji penapisan, Sabtu lalu.
Tumpahan itu terjadi susulan letusan kuat gunung berapi bawah laut berhampiran Tonga Sabtu lalu, mengakibatkan gelombang tsunami di sekitar Pasifik sehingga ke Amerika Syarikat (AS).
Di Peru, tumpahan minyak berhampiran Lima mengakibatkan pantai menjadi kotor, membunuh burung serta menjejaskan industri perikanan dan pelancongan.
Kerajaan menuntut bayaran ganti rugi daripada syarikat gergasi Sepanyol, Repsol yang juga pemilik loji penapisan berkenaan.
Kementerian itu menjelaskan, 174 hektar (menyamai 270 padang bola sepak) laut, pantai serta rizab semula jadinya terjejas ekoran tumpahan minyak itu.
Kementerian itu berkata, petugasnya sudah membersihkan tumpahan itu sejak beberapa hari lalu, namun perintah darurat dikeluarkan selepas minyak yang masih berada dalam air terus merebak sejauh 40 kilometer dari lokasi tumpahan asal.
Ketika mengisytiharkan darurat, kementerian itu berkata, insiden tumpahan berkenaan memberi kesan ketara terhadap ekosistem marin pantai, yang mempunyai kepelbagaian biologi utama.
Sementara itu, Repsol berkata, syarikat itu bertanggungjawab untuk operasi pembersihan segera berikutan kilang penapisannya terletak di bandar Ventanilla berhampiran Lima.
Repsol berkata, tumpahan itu berlaku kerana gelombang disebabkan letusan di Pasifik, selain menyatakan kerajaan tidak memberi amaran awal kemungkinan kesan letusan dasar laut itu.
Repsol turut memaklumkan 1,350 petugasnya sudah dikerah bagi operasi pembersihan menggunakan trak pelantar, ‘Skimmer’, penghadang pembendung terapung serta peralatan lain.
Repsol berkata mereka sudah mengerahkan segala usaha untuk langkah pemulihan daripada insiden tumpahan itu.
Minggu lalu, nelayan dan penduduk tempatan yang tinggal di sekitar pantai mengadakan protes berikutan kehilangan sumber mata pencarian mereka secara tiba-tiba. – AFP.
-Berita Harian